Bertawakal bukan bererti meninggalkan ikhtiar. Allah telah memerintahkan hamba Nya untuk berikhtiar sebelum bertawakal. Ikhtiar merupakan manifestasi ketaatan kepada Allah, manakala tawakal pula berada dihati iaitu iman kepada Nya.
Yusuf bin Asbath pernah mengungkapkan, “Beramallah seperti beramalnya seseorang yang tidak mungkin selamat kecuali dengan amalnya. Bertawakallah seperti seseorang yang tidak mungkin tertimpa musibah kecuali apa-apa yang ditetapkan baginya.”
Teladan yang luhur jelas terganbar pada peribadi ibunda Siti Hajar, ketika ditinggal oleh Nabi Ibrahim AS bersama anaknya yang masih bayi. Lalu Siti Hajar mengikuti Nabi Ibrahim yang meninggalkan mereka dan bertanya, “Hai Ibrahim ke manakah kau akan pergi? Engkau tinggalkan kami dilembah yang tidak berpenghuni dan tidak ada apa-apa ?”
Berulang kali Siti Hajar mengajukan pertanyaan demikian sedangkan Ibrahim tidak sedikitpun menoleh kepadanya. Lalu dia bertanya lagi, “Apakah Allah memerintahkan engkau berbuat demikian ?” Ibrahim menjawab, “Ya”. Kemudian ibunda Siti Hajar berkata, “ Kalau begitu Dia tidak akan mensia -siakan kami.”
Keempat : Iftiranuhu bil ‘amalishshalih
Terdapat lebih dari 50 tempat dalam Al-Qur’an yang menghubungkan keimanan dengan amal soleh. Dalam erti kata lain keimanan mesti menghasilkan amalan. Adalah satu pendustaan jika keimanan seseorang tidak diiringi dengan amalan, dan bukan amal soleh apabila tidak berlandaskan keimanan. Islam adalah dien al ilmi wal’amal. Oleh kerana itu, manakala amal soleh bertambah, maka iman pun bertambah. Seorang alim pernah menyatakan :
“Iman itu berkurang dan bertambah, bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana kemaksiatan.”
Kelima : Mencintai mukmin
Cinta, kasih sayang dan persaudaraan merupakan kenyataan naluriah. Setiap manusia yang berada di mukabumi memerlukannya. Bagi seorang muslim, batas persaudaraan atau ukhuwah bukanlah terhenti setakat persamaan kepentingan, etnik dan batas geografi. Melainkan batas persaudaraan adalah seluas wilayah aqidah. Mereka bersaudara kerana Allah dan bermusuhan kerana Allah. Persamaan aqidah akan membawa pada persamaan pandangan hidup dan orientasi perjuangan. Oleh itu ukhwah akan kukuh dengan sendirinya.
Persaudaraan bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat-buat, apatah lagi dipaksa. Tumbuh dan berkembangnya perasaan cinta dan kasih sayang di hati, kerana Allah mengikat hati orang-orang beriman dalam sebuah jalinan persaudaraan.
“Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah ketika kamu dulu bermusuh-musuhan maka Allah menjinakkan antara hatimu lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.” (QS. Al-Imran:103)