Kehadiran si Minah ini telah memaksa keluarga Tionghua kelas menengah menggunakan Bahasa Melayu. Keadaan ini lebih hebat daripada kempen-kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan anjuran kerajaan yang hanya sibuk di poster-poster dan kain-kain rentang.
Biasanya majikan dari kelas menengah memiliki sikap tak ambil endah terhadap Bahasa Melayu. Jadi, apabila si pembantu ini datang, maka untuk pertama kalinya si majikan "terpaksa" mempelajari kembali cara yang betul dan tepat untuk bertutur dalam Bahasa Melayu.
Tidak ada peranan DBP, Kementerian Pelajaran, Teras (Teras Pengupayaan Melayu) atau sasterawan Melayu di sini. Semua pengajaran Bahasa Melayu ini berjalan tanpa paksaan. Semuanya berjalan tanpa akta Parlimen atau riuh-rendah daripada Gapena.
Jika si Minah ini menjadi babu menjaga anak, maka peranan babu ini cukup penting. Si Babu yang mendodoikan anak kecil ini akan lebih banyak berguli dan berjenaka dengan si anak kecil.
Malah jika diambil nisbah masa, waktu si babu bersama anak lebih banyak berbanding dengan waktu si ibu bersama anak. Si babu Minah Indonesia ini pastilah bertutur dalam Bahasa Melayu yang tersusun. Bunyi yang keluar dari tekak dan mulut si babu inilah yang akan sentiasa didengar oleh telinga si anak kecil.
Inilah bukti si babu ini sedang menjadi pengembang Bahasa Melayu tanpa ada laporan huhah huhah dalam Dewan Sastera atau Dewan Masyarakat. Atau laporan daripada Kementerian Pelajaran.
Lihat apa yang sedang terjadi di Hong Kong. Di kota pulau ini, tanpa dirancang, Tagalog menjadi bahasa kedua rakyat di sana. Ia berlaku kerana hampir semua babu dan pembantu rumah di Hong Kong didatangkan dari Filipina. Tidak dapat tidak anak-anak kecil yang dijagai oleh Minah Filipina ini akan fasih berbahasa Tagalog.
Saya juga sering ke kedai makan dan ke restoran Cina. Saya perhatikan banyak, malah hampir semua, restoran Cina di kota Kuala Lumpur ini mengambil pekerja Minah Indonesia. Ada yang bertugas di dapur, ada yang membuat minuman dan ramai yang menjadi pelayan tamu. Minah-minah ini tanpa segan-silu bekerja dalam restoran Cina.
Sekali lagi saya perhatikan betapa pentingnya peranan mereka. Kalau Minah ini menjadi pelayan di restoran Cina, sudah pasti para pelanggan Cina yang akan dilayani. Si Minah akan mengambil pesanan. Si Minah akan membersihkan meja. Si Minah akan menyusun tempat duduk. Si Minah ke dapur menghantar pesanan. Beginilah pekerjaan pelayan.
Tetapi ada satu lagi pekerjaan yang saya anggap lebih suci tetapi tidak dapat dinilai dengan ringgit dan dolar - si Minah pelayan di restoran Cina ini penyebar Bahasa Melayu yang ulung. Saya perhatikan Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah Indonesia ini cukup teratur. Lenggok dan lagunya bahasa baku.
Si Minah ini tidak pernah akan mengubah telo bunyi yang akan keluar dari mulut dan tekak mereka. Bunyi-bunyi yang dikeluarkan adalah sama - tidak mengira apakah si pelanggan seorang apek berseluar pendek atau seorang taukeh berjaket dan bertali leher.
Malah daripada pemerhatian saya, Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah ini lebih baik susunan ayatnya daripada pertuturan kelam bin kabut dan lintang bin pukang yang terhambur dari tekak para pengacara televisyen dan radio kita.