Oleh: Ibnu Din Assingkiri
Kata orang apresiasi karya tulis lebih sempurna dilakukan jika pengapresiasi berpeluang mengenali pengkarya secara lebih dekat. Saya bersetuju dengan pandangan ini. Selain tanggal tulis dan tempat karya ditulis diketahui, mengenali pengkarya secara dekat memang sangat-sangat membantu dalam apresiasi karya teristimewa sekali karya sajak dan puisi lainnya.
Saya merasa bertuah kerana berkesempatan mengenali sosok penulis yang berbakat dari Langgar, Alor Setar, Kedah ini. Setelah mengunjungi teratak inspirasi beliau dan bertemu di majlis lain saya dapati beliau seorang yang merendah diri, mudah tersenyum, namun berhati-hati dalam mengeluarkan buah bicara. Beliau adalah pendengar yang aktif dan jurubual yang lebih banyak mendengar.
Sejarah penulisan beliau sudah begitu lama akan tetapi di masa muda, beliau tidak menerbitkan karya. Namun begitu semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menerbitkan karya di portal eSastera.com. Beliau juga merupakan salah seorang pengkarya prolifik di eSastera mutakhir ini.
Secara umum tema penulisan beliau menjurus kepada pengalaman kehidupan seharian seorang pesara, suami, bapa, datuk dan anggota masyarakat yang prihatin terhadap perkembangan sosial dan politik tanahair. Beliau merupakan penulis yang bijak melakar memori dengan gaya bahasa serta personifikasi yang boleh meruntun jiwa penikmat jika mampu menyelami ke dasar sajak-sajaknya. Beliau juga berkebolehan menggubah bahasa biasa menjadi adunan luarbiasa dan memberi impak yang kuat.
Pada kali ini saya ingin mengapresiasi sebuah sajak beliau yang berjudul KURNIA. Sajak ini diterbitkan pada Ahad, 24 Februari 2013, pukul 10:11 pagi waktu Malaysia. Sajak ini juga ditulis pada tanggal sama. Berikut adalah teks penuh sajak:
KURNIA
Rambutnya terurai lembut beralun
di hujung kepala
melandai bantal tidurku terbawa jauh
wangi-wangi rindu semesra lalu
terbang di langit waktu
namun, aku seperti burung malam
dikejut siulan angin
terbuai sarang pada dahan
di langit sunyi gumpalan awan
nyenyak diarak perlahan
aku terleka pada imbas rambutnya
lelap bermata sayu
terlukis senyum bibirnya
seperti mencetus pesan damai
ke alam malam
jadilah aku perantau piatu
meneroka sunyi yang panjang
di sisi berbisik bersyukur
membekal detik nafas berlalu
ke arah senyap tertentu
tidak sesedar aku
subuh tiba di sudut bilik
sekujur tubuhnya berbalut telekung
putih bersih bersimpuh tertib
bayang rambutnya terpadam di bantal
aku bersyukur menyambut hari baru
atas kurnia Nya
menyempurna waktu yang lima
merangkaklah usia ke usia
pada ketentuan Nya jua...
mansor a hamid
24/02/13, Langgar, Alor Setar
Saya mengapresiasi sajak ini dari perspektif seorang penikmat. Walaupun agak santai, saya akan cuba menyentuh empat perkara pokok yang selalu kita dasari semasa memberi apresiasi iaitu tema, perasaan, nada dan amanat.
Tema
Pada pendapat saya tema sajak ini lebih kepada tema ketuhanan dibandingkan dengan tema perkasihan. Namun begitu terdapat juga hal-hal perkasihan antara manusia yang disebutkan didalam sajak ini. Judulnya KURNIA yang dihurufbesarkan adalah poin penguat di mana kurnia itu begitu besar dari Tuhan yang Maha Pemberi Kurnia. Di judul sudah terdapat unsur ketuhanan atau religiusnya. Bait akhir ini saya jadikan ukuran tema:
“aku bersyukur menyambut hari baru
atas kurnia Nya
menyempurna waktu yang lima
merangkaklah usia ke usia
pada ketentuan Nya jua...”
Tokoh dalam puisi “aku” merasa bersyukur kerana dianugerahkan hari baru, yakni dipanjangkan usia lebih sehari lagi. “Aku” juga bersyukur kerana masih boleh terus menunaikan ibadah yang merupakan tiang agama iaitu solat wajib lima kali sehari. Baris seterusnya memuatkan kata, “merangkaklah usia ke usia / pada ketentuan Nya jua...” Di sini “Aku” merendahkan dirinya sebagai hamba yang soleh, taat dan patuh kepada Tuhan Maha Penentu akan sehingga mana usianya berganjak. “Aku” juga pasrah pada ketentuan ajal; hanya berada di tangan-Nya.
Perasaan
Perasaan yang cuba disampaikan oleh penulis ialah rasa rendah diri dan bersyukur kepada kurnia Tuhan yang sangat banyak. Perasaan cinta kepada teman hidupnya melahirkan cinta lebih kuat kepada Tuhan dan menjadikannya lebih dekat dan lebih mengagumi akan kekuasaan Tuhan. Namun penulis meletakkan lapis-lapis krim manis di antara kek sajaknya dengan romantika kamar tidur yang merupakan perlambangan akan kehidupan berumahtangga bahagia dan telah lama ditelusuri bersama pasangan hidup. Ini dapat saya tangkap dalam bait yang pertama:
“Rambutnya terurai lembut beralun
di hujung kepala
melandai bantal tidurku terbawa jauh
wangi-wangi rindu semesra lalu
terbang di langit waktu”
Secara fizik jika rambut lembut terurai beralun itu adalah lambang kecantikan wanita yang sudah tentunya merupakan kejadian Tuhan Maha Indah. Di sini perasaan istimewa itu selalu berulang bilamana keindahan itu yang diwakili perlambangan rambut terurai lembut mengenai bantal tidur “Aku” semestinya terasa nyaman dan harum dalam aroma cinta. Rasa rendah diri dan bersyukur atas kurnia Tuhan yang mengirim seorang isteri ‘wangi-rindu’ menghiasi langit waktu-satu jeda yang panjang. Bukankah kebahagiaan seorang suami itu bila mahligai cintanya dijaga oleh isteri sebanding bidadari? Apabila “Aku” memandang isteri dan mengenang kebahagiaan berumahtangga, maka dia akan rasa bersyukur atas kurnia yang Maha Esa.
Nada
Nada sajak ini tidak selugas pilihan katanya. Saya dapati sajak ini bernada lembut dan begitulah nada untuk menyampaikan rasa rendah diri dan bersyukur. Di tangan penulis, pilihan kata-kata sederhana dan biasa ini tidak perlu diikat dengan rima untuk menghasilkan kelembutan. Walaupun sajak ini berbentuk bebas namun diksinya tertib digubah dan dituang ke dalam pola yang lembut. Bait ke empat menyerlahkan kebijakan penulis dalam meniupkan kelembutan nada bersesuaian tema:
“jadilah aku perantau piatu
meneroka sunyi yang panjang
di sisi berbisik bersyukur
membekal detik nafas berlalu
ke arah senyap tertentu”
Pada bait ini, kata “jadilah aku perantau piatu / meneroka sunyi yang panjang” adalah selembut nada yang bisa meruntun perasaan simpati yang menohok ke jantung rasa para pembaca. Nada yang dipilih bersesuaian sekali dengan tema sajak ini dan mungkin juga merupakan peribadi penulis sendiri yang lembut bicaranya.
Amanat
Saya menyimpulkan amanat yang cuba disampaikan oleh penulis ialah sebagai hamba-Nya kita harus bersyukur di atas kurnia-Nya yang tak terkira banyak. Anugerah usia yang panjang memberi kita peluang untuk terus beribadah dan menimba ilmu. Anugerah pasangan hidup tempat tertumpahnya kasih dan cinta merupakan inayat-Nya. Pada bait kedua ini penulis juga menggambarkan suasana tidurnya yang nyenyak juga sebagai satu anugerah yang harus disyukuri:
“namun, aku seperti burung malam
dikejut siulan angin
terbuai sarang pada dahan
di langit sunyi gumpalan awan
nyenyak diarak perlahan”
Kata, “terbuai sarang pada dahan / di langit sunyi gumpalan awan” di sini penulis menggambarkan ketenangan seperti seekor burung yang terbuai dalam sarang di dahan awan. Puitis sekali diksi ini. Ketenangan kala tidur juga merupakan anugerah-Nya yang patut disyukuri. Pada bait ke lima terserlah amanat rendah diri dan bersyukur kepada Tuhan:
“tidak sesedar aku
subuh tiba di sudut bilik
sekujur tubuhnya berbalut telekung
putih bersih bersimpuh tertib
bayang rambutnya terpadam di bantal”
Hanyut dalam lena yang nyenyak, “Aku” terjaga dan setelah membuka mata mendapati isterinya telahpun usai/sedang solat subuh. Kedudukan bersimpuh tertib dalam solat ataupun berdoa adalah tanda tawadduk kepada-Nya. Pasangan yang solehah adalah untuk suami yang soleh. Solat merupakan kewajipan dan tanda kesyukuran serta rendah diri yakni sujud kepada Tuhan. Amanat terbesar sajak ini adalah kewajipan kita sebagai hamba yang bersyukur dan menunaikan solat. Dengan bersolat kita bersujud merendahkan diri (tidak sombong) dan tidak kufur nikmat yang diberi.
Penutup
Mansor A. Hamid telah melaksanakan tugas pentingnya dalam penulisan sajak, iaitu mengajak ke arah kebaikan. Pola penulisan beliau sederhana namun berjaya memberi impak besar dan juga membawa amanat besar. Penulisan beliau adalah pengalaman peribadi yang dilakarkan dengan jayanya di kanvas sajak. Walaupun merupakan seorang yang senior dari kiraan umur, tidak ada satupun karya beliau didaktik menggurui pembaca. Seperti percakapannya yang lembut dan merendah diri, penulisan beliau juga sedemikian rupa.
Baca konten-konten menarik Kompasiana langsung dari smartphone kamu. Follow channel WhatsApp Kompasiana sekarang di sini: https://whatsapp.com/channel/0029VaYjYaL4Spk7WflFYJ2H