Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Menulis adalah aktiviti kehidupan yang paling dominan dengan manusia selain membaca. Menulis banyak memberi manfaat untuk mengekalkan kecerdasan otak dan kecergasan tubuh badan. Menulis juga dapat mempengaruhi segala emosi yang kita miliki. Aktiviti menulis secara tidak langsung mendidik kita untuk tahu mengawal dan menghargai diri sendiri.
Paling penting dalam aktiviti menulis adalah KEBERANIAN. Kenapa menulis harus dikaitkan dengan sifat berani ? Berani bermaksud TIDAK TAKUT untuk melahirkan pendapat sendiri. Ide-ide yang ditulis mempunyai kekuatan untuk diketengahkan setelah beberapa kali dieditkan untuk mudah difahami pembaca. Kekuatan ini mampu melahirkan tulisan yang bermutu dan enak dibaca.
Tidak dinafikan, menulis mempunyai risiko tersendiri untuk menerima kritikan, nasihat dan pandangan dari sesiapa sahaja. Hati kita selalu diuliti rasa gementar dan bimbang akan nasib ide-ide yang bakal dipaparkan ke ruangan umum. Kita selalu memikir-mikir akan pendapat orang lain terhadap tulisan kita. Diterima atau ditolak.
Keadaan ini mempengaruhi pasang surut keinginan untuk kita menulis. Akhirnya tulisan itu tidak disiarkan. Kerana rasa takut, banyak tulisan yang dihasilkan, sekadar menjadi simpanan yang mengandungi debu-debu keresahan. Kemudian terkubur sepi di perkuburan draf.
Harus diingat, sebaik sahaja tulisan kita tersiar di mana-mana media, tulisan itu bukan lagi milik kita, tetapi sudah menjadi milik umum. Biarlah tulisan itu sendiri mempertahankan dirinya. Kita hanya menjelaskan apa yang tidak difahami oleh pembaca.
Kegusaran sering terjadi saat ingin meluncurkan tulisan ke udara. Hati rasa gementar bukan kerana takut kepada hadirnya komentar yang memiris hati atau kurang nyaman dibaca. Tetapi disebabkan oleh harapan yang menggunung tinggi agar buah fikiran yang dicerna mengikut tema semasa dapat dimanfaatkan atau tidak oleh pembaca.
Namun di sudut hati terdalam, rasa bahagia memenuhi segala emosi kerana telah berjaya menghasilkan suatu ide yang dianggap terbaik untuk ketika itu.
Rasa gementar mempunyai keunikan sendiri sebagai perisai untuk kita berhati-hati dan bersiap siaga menerima segala ragam kata yang bakal tercurah sebagai refleksi yang membina untuk penambahbaikan tulisan yang akan datang.
*
Siti Fatimah Ahmad, 6 November 2014 (Khamis), 3.58 petang, Bintangor, Sarikei, Sarawak
SELAMAT MENULIS
Baca konten-konten menarik Kompasiana langsung dari smartphone kamu. Follow channel WhatsApp Kompasiana sekarang di sini: https://whatsapp.com/channel/0029VaYjYaL4Spk7WflFYJ2H