Untuk makluman, artikel ini tidak akan memasukkan Kerajaan Minangkabau dan Kesultanan Acheh Darussalam kerana di Indonesia, suku Minang dan suku Acheh dianggap sebagai dua etnik yang berbeza dengan suku Melayu. Wilayah Melayu di pulau Sumatera terbentang luas daripada Temiang di sebelah utara yang bersempadan dengan Acheh, hinggalah ke Palembang di sebelah selatan yang bersempadan dengan Lampung. Selain daripada negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur, terdapat juga enam buah negeri Melayu di kawasan tengah dan selatan pulau Sumatera iaitu bermula dengan Kesultanan Lingga (termasuk kepulauan Riau), Kesultanan Siak Sri Indrapura, Kesultanan Pelalawan, Kesultanan Indragiri, Kesultanan Jambi dan Kesultanan Palembang. Daripada enam Kesultanan Melayu tersebut, sebanyak empat daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Melaka dan pewarisnya iaitu Kesultanan Johor yang berpusat di semenanjung Tanah Melayu. Paling menarik adalah mengenai asal kewujudan Kesultanan Indragiri. Sejarah umum menyatakan bahawa Kerajaan ini berdiri pada tahun 1298 dan didirikan oleh Putera Mahkota Kerajaan Melaka yang bernama Raja Merlang I. Ketika tempoh awal penubuhannya, Raja-raja Indragiri dikatakan masih berkedudukan di Negeri Melaka. Perhatikan tarikh penubuhan Kerajaan ini yang dikatakan bermula pada tahun 1298, sedangkan persepsi umum menerima bahawa Kesultanan Melaka hanya mula didirikan sekitar tahun 1400-an Masihi. ‘Melaka’ yang dinyatakan disini sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua. Isu ini sama seperti kisah Raja Brunei iaitu Awang Alak Betatar @ Sultan Muhammad Syah yang telah memeluk Islam pada tahun 1363 hasil perkahwinannya dengan Puteri Pingai, puteri Sultan Iskandar Syah dari Negeri Johor, sedangkan Kesultanan Johor hanya bermula selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 Masihi. Maklumat dari Pusat Sejarah Brunei bersepakat menyatakan bahawa Puteri ‘Johor’ yang dinyatakan disini adalah Kerajaan Singapura Tua iaitu waris daripada Sang Nila Utama. Waris Raja Indragiri itu tidak menolak kemungkinan tersebut. Walaubagaimanapun, beliau juga menegaskan tidak mustahil juga Raja Indragiri yang pertama ini merupakan zuriat langsung dari Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang.
KEMBALI KE ARTIKEL