Oleh: Jannatul H Anuar, MA*)
Di antara ulama Nusantara yang kehebatannya diakui secara luas di dunia Islam ialah Syeikh Fadani. Beliau merupakan tokoh Minang yang terkemuka di Tanah Suci setelah Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Namanya terukir indah dalam buku-buku biografi ulama modern. Beliau digelari sebagai muhaddis dan ahli fikih abad ini. Selain menulis, beliau juga mengajar dan mentadbir beberapa sekolah di Mekah. Artikel ini dimaksudkan untuk menyerlahkan sejarah hidup dan karya tulisnya.
Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani dilahirkan di tengah keluarga ulama yang taat di Misfalah Mekah pada hari Selasa, 27 Sya'ban 1335H/17 Juni 1917M. Beliau adalah cahaya mata pasangan Syeikh Muhammad 'Isa bin Udiq al-Fadani dan Maimunah binti Abdullah Fadan. Di samping dengan kedua orang tuanya, beliau telah berguru kepada paman di pihak ayahnya, Syeikh Mahmud Engku Hitam al-Fadani.
Pada tahun 1346H/1927M beliau bersekolah di Madrasah Sawlatiyah hingga tahun 1353H/1935M. Beliau kemudian pindah ke Madrasah Dar al-'Ulum yang baru saja dibangun oleh Sayyid Muhsin Falimbani pada 16 Syawwal 1353H/22 Januari 1935M. Syeikh Fadani menamatkan pengajiannya di sini pada 14 Rabi' al-Awwal 1356H/25 Mei 1937M (Ahmad, [t.th]). Selain pendidikan formal, beliau juga menimba ilmu di lingkungan Masjid al-Haram dan di kediaman para masyayikh di sekitar Mekah, Madinah, Thaif, dan Riyadh. Beliau juga pernah melakukan lawatan ke Indonesia, Malaysia, Yaman, Mesir, Syiria, Kuwait, dan sebagainya (Zakwan, 1993).
Syeikh Fadani telah berguru kepada 700 ulama di zamannya, dari pelbagai suku-bangsa, sama ada yang belajar langsung ataupun sekedar mengambil ijazah ilmu (Mar'ashli, 2005). Antaranya Syeikh 'Abd al-Karim al-Khatib Minangkabau, Syeikh Ahmad Mansur Filfulani, Syeikh 'Abd al-Qadir Mandili, Syeikh 'Abd al-Satar Dehlawi, Syeikh Hasan Mashat, KH. Hasyim Asy'ari, Syeikh Ibrahim Dawud Fatani, Syeikh Djanan Thaib Minangkabau, Syeikh Khalifah Nabhani, KH. Ma'sum Lasem, Syeikh Ahyad Bughuri, Syeikh 'Atarid Bughuri, Sayyid 'Alawi Maliki, Sayyid Muhsin Falimbani, Syeikh 'Umar Bajunid, Syeikh 'Umar Hamdan, Syeikh Zubayr Ahmad Filfulani, dan banyak lagi.
Adapunmengenai perjalanan karier beliau, bermula sejak dilantik menjadi guru di Madarasah Dar al-'Ulum, tahun 1356H/1937M. Antara mata pelajaran yang diasuh oleh beliau ialah hadis, fikih Shafi'i, usul al-fiqh, qawa'id fiqhiyyah, nahu, sharaf, balaghah dan ilmu falak (Mar'ashli, 2005). Kiprahnya di dunia akademik kian rancak sehingga dilantik menjadi wakil mudir, sejak 1359H/1940M hingga 1384H/1964M. Setelah kepulangan Syeikh Ahmad Mansur ke Tanah Melayu, tahun 1384H/1964M, beliau menggantikan posisi gurunya itu sebagai mudir Madrasah Dar al-'Ulum hingga ke akhir hayatnya. Syeikh Fadani juga terlibat dalam pembangunan Madrasah al-Banat al-Ibtida'iyah yang diresmikan pada Rabi' al-Awwal 1362H/Maret 1943M. Institusi ini merupakan sekolah perempuan kedua dalam Kerajaan Arab Saudi. Beliau juga membangun Ma'had al-Mu'allimat al-Ahliyyah, sekolah bagi calon guru yang didirikan pada Rabi' al-Akhir 1377H/Oktober 1957M. Ilmu yang diajarkan di sini diantaranya ilmu psikologi pendidikan dan ilmu metodologi pengajaran, dan lain-lain.
Di samping itu, beliau juga mengajar di Masjid al-Haram dan di rumahnya. Bahkan, tradisi ilmu di rumahnya masih diteruskan hingga kini oleh murid-murid beliau. Tidak heran, jika beliau melahirkan anak didik yang teramat sukar untuk diperkirakan bilangan pastinya (Mamduh, 1983). Antara yang terkemuka ialah Dato' Syeikh Abdul Halim Abd Kadir, KH. Abdul Hamid Abd Halim, KH. Dr. Abdul Muhith, Prof. Dr. Abdul Wahhab Ibrahim, Syeikh Dr. Ali Jum'ah, KH. Dr. Ahmad Sahal Mahfuz, Tan Sri Hasan Azhari, KH. Dr. Maghfur Usman, KH. Maimun Zubair, Syeikh Dr. Mahmud Sa'id Mamduh, Syeikh Nur al-Din Banjari, Prof. Dr. Said Agil Husin al-Munawar, KH. Syafi'i Hadzami, Syeikh Dr. Yusuf al-Mar'ashli, KH. Zakwan Abd Hamid, dan ramai lagi.
Syeikh Fadani wafat di Mekah pada hari Jum'at, 28 Zulhijjah 1410H/21 Juli 1990M. Allahyarham disalatkan selepas Jum'at di Masjid al-Haram dan dikebumikan di Tanah Pekuburan Ma'la. Beliau meninggalkan satu orang isteri dengan empat orang putera yaitu Muhammad Nur 'Arafah, Fahd, Ridha dan Nizar. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un!
Syeikh Fadani amat produktif dalam menulis karya. Selain kitab hadis, yang menjadi keahliannya, beliau juga menyusun buku sejarah ulama, fikih dan usul al-fiqh, ilmu falak, ilmu tafsir dan bahasa. Menurut kajian penulis (2010), telah lahir khazanah keilmuan Islam lebih dari 100 judul dari ujung penanya. Namun sayang, agak sukar menjumpai karya-karya tersebut di tanah air. Karya beliau lebih banyak dicetak di Beirut dan Syiria. Selebihnya masih tersimpan dalam bentuk makhtutat di pustaka peribadi almarhum. Bahkan, karyanya yang fundamental dalam bidang hadis, Fath al-'Allam dan al-Durr al-Mandud masih dalam bentuk manuskrip.
Sebatas upaya dha'if penulis, inilah karya Syeikh Fadani yang baru dapat dikoleksi. Judulnya sengaja ditulis ringkas dengan tahun terbit dan berdasarkan huruf abjad: al-Arba'un al-Buldaniyyah (1407H/1987M); al-Arba'un Hadithan (1429H/2008M); al-Asanid al-Makkiyyah (1409H/1989M); Asanid al-Faqih al-Haytami (1429H/2008M); al-Awa'il al-Sunbuliyah wa Dhayluha (1427H/2006M); Bulghah al-Mushtaq ([t.th]); Fayd al-Khabir wa Khulasah al-Taqrir ([t.th]; Fayd al-Mabdi bi Ijazah al-Zabidi (1429H/2008M); al-Fawa'id al-Janiyyah (1417H/1996M); al-Fayd al-Rahmani bi Ijazah al-'Uthmani (1406H/1986M); Husn al-Siyaghah Sharh Durus al-Balaghah ([t.th.]); Husn al-Wafa li Ikhwan al-Safa ([t.th]); Ittihaf al-Bararah (1403H/1983M); Ittihaf al-Ikhwan (1406H/1986M); Ta'liqat 'ala Kifayah al-Mustafid ([t.th]); Ta'liqat 'ala Madkhal al-Wusul ila 'Ilm al-Usul ([t.th]); al-Maslak al-Jali (1408H/1988M); al-Nafhah al-Hasaniyyah (1396H/1976M); al-Rawd al-Fa'ih wa Bughyah al-Ghadi wa al-Ra'ih (1426H/2005M); Sadd al-Arab min 'Ulum al-Isnad wa al-Adab ([t.th]); Tanwir al-Basirah (1403H/1983M); Thabt al-Kazbari (1403H/1983M); al-'Ujalah fi al-Ahadith al-Musalsalah (1405H/1985M); al-Wafi bi Dhayl Tidhkar al-Masafi (1429H/2008M); dan Waraqat fi Majmu'ah al-Musalsalat (1406H/1986M).
Meskipun kabarnya Syeikh Fadani mampu bertutur dalam bahasa Melayu (Halim, 2010), namun beliau menulis seluruh karyanya dalam bahasa Arab. Karena itu, hal ini menjadi tantangan tersendiri bagi cerdik pandai semasa untuk menterjemahkan, mengkaji dan memetakan gagasan pemikiran beliau dalam aneka sudut pandang keilmuan Islam. Di samping tentunya usaha dalam penerbitan karya-karyanya di tanah air. Adalah itu pantas, sebagai salah satu wujud kebanggaan muslim Nusantara terhadap beliau, apalagi ramai muridnya yang berasal dari kawasan ini.