Mohon tunggu...
Ibnu Din Assingkiri
Ibnu Din Assingkiri Mohon Tunggu... Trainer -

Ibnu Din Assingkiri ialah nama pena penulis Sanusi bin Din. Beliau dilahirkan di Singkir Laut, Yan, Kedah pada 4 Mei 1970. Beliau merupakan ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Beliau cenderung menulis puisi, cerpen dan apresiasi puisi. Beliau menulis sejak di sekolah menengah dan telah menghasilkan dua naskah kumpulan puisi serta senaskah kumpulan cerpen. Selain menulis di tanah air tercinta, beliau ikut bergabung dengan penulis se Nusantara dan telah membukukan tiga belas antologi bersama. Beliau adalah graduan Sarjana Muda Pengajian Inggeris Dengan Kepujian di UNITEM (OUM). Beliau berkhidmat sebagai Eksekutif Kanan Latihan dan Perkembangan Sumber Manusia di syarikat multinasional swasta.

Selanjutnya

Tutup

Fiksiana

Proses Kreatif (Saya)

29 April 2012   04:17 Diperbarui: 10 Juli 2015   09:08 148
+
Laporkan Konten
Laporkan Akun
Kompasiana adalah platform blog. Konten ini menjadi tanggung jawab bloger dan tidak mewakili pandangan redaksi Kompas.
Lihat foto
Bagikan ide kreativitasmu dalam bentuk konten di Kompasiana | Sumber gambar: Freepik

Oleh: Ibnu Din Assingkiri

 

Bismillahirrahmanirrahim! 

 

Mukadimah

Tulisan ini bertujuan berbagi proses kreatif menulis puisi saya, seorang penulis puisi siber dari Pulau Pinang, Malaysia yang mungkin dapat meluaskan perspektif para pembaca yang budiman tentang proses kreatif yang mungkin sama atau berbeza antara satu penulis dengan penulis yang lain. Walau ada perbezaan, namun semua penyair menginginkan keindahan pada puisi yang lahir dari proses kreatif mereka. 

 

-PUISI BAGIMU ADALAH APA?

 

puisi adalah burung-burung

dari pelbagai bangsa dan warna

berkicau dan menari irama

lagu-lagu dari daerah migrasi

dihiasi keunikan gerak tari

tradisi dan kontemporari

 

puisi adalah keris-keris

ditempa dari besi terpilih

dibaja menyerlah pamor indah

berlok pula mengikut citarasa

ditukangi dengan kesungguhan

dari hujung-ke hulu-ke sarung

 

puisi bagiku keindahan,

puisi bagiku kesungguhan.

-puisi bagimu adalah apa?

 

Ibnu Din Assingkiri

29-12-2011

Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang.

 

Kreativiti Menulis Puisi

Kreativiti merujuk kepada fenomena di mana seseorang itu mencipta sesuatu yang baru, segar dan tidak menyamai rekaan sebelumnya.

Sebagai individu yang tidak dididik secara formal dalam sastera, saya dapati kreativiti berkarya tetap ada kepada siapa saja. Kreativiti lahir dari cetusan-cetusan idea menarik yang melintas di depan penulis dan ditukangi menjadi puisi.

 

Cuba Elakkan Terjerumus ke Lubang Klise

Menurut Muhammad Haji Salleh (1984, 2005), kata-kata yang tergolong klise ini biasanya tumpul dan tiada mencabar minat pembaca, tiada menolong menggambarkan pengalaman yang dalam, baru atau luar biasa.

Secara umumnya bagi saya, terdapat beberapa cara di mana dapat mengurangkan klise. Pilihlah jalan untuk mengolah kata-kata terbiasa (baca:klise) itu agar kedengaran lebih segar.

Kata, “aku binatang jalang” sudah tentulah terang-terang menjadi klise. Begitu juga “secangkir rindu” dan “tirai malam pun berlabuh” sebagai contoh dari lebih banyak contoh klise. Penggunaan kata-kata ini yang menjerumuskan kita ke lubang klise. Kreativiti menuntut penyair mereka-cipta atau memilih kata lain sebagai ganti kata-kata yang telah menjadi artifak arkeologi perpuisian ini. Jika tidakpun, berilah nafas baru kepada kata-kata yang telah luntur ini.

Sebagai contoh, “aku primat liar” sebagai ganti “aku binatang jalang”, “malam bermukenah hitam” sebagai ganti “tirai malam pun berlabuh”, “sesudu rindu” sebagai ganti “secangkir rindu” Ini juga sebahagian dari proses kreativiti dengan cara memberi “facelift” kepada kata yang sedia ada dan telah sebati dengan diri para penyair.

 

Tangkap dan Simpan Cetusan-cetusan Idea yang Melintas

“Kreativiti lahir dari cetusan-cetusan idea menarik yang melintas di depan penulis dan ditukangi menjadi sajak.” -Ibnu Din Assingkiri

Ungkapan di atas mungkin dipetik dari kata-kata biasa dari orang biasa tapi marilah kita lihat lebih jauh. Penyair yang peka akan mendapat cetusan idea dari sumber-sumber seperti khutbah jumaat, cerita kartun, filem, sembang kedai kopi, melihat kejadian alam, sketsa kehidupan di persekitaran, sketsa semasa berkunjung ke luar kota, melancong dan sebagainya. Secara ringkasnya, saya harus peka dan menangkap cetusan-cetusan idea yang melintas di depan matanya, tak kira di manapun atau di ketika manapun saya berada.

Bagi saya, sesuatu idea yang menarik perhatian akan ditulis di dalam nota telefon bimbit dan jika ada kamera akan ditangkap gambar supaya idea itu tidak hilang begitu sahaja (maklumlah sudah semakin berumur). Salah satu contoh tentang idea menarik yang melintas di hadapan saya ialah ketika sedang mendengar khutbah Jumaat dan kemudiannya ditukangi menjadi puisi sketsa ini:

 

Sesajak satira di rumahMu yang Mulia

 

angin menghembus manja muka-muka di foyer Masjid Attaqwa, Mak Makdin

melalui celahan bulu-bulu mata yang berselisih menyikati mata mengantuk

terbaca di belakang baju T, “I love Bangladesh in Penang” semakin kabur

di tengah himpunan mati suri, khatib berteriak,”kita sombong dengan Allah!”

bertempiaran syaitan yang bergayut di kelopak mataku dan mereka.

 

katanya: “kita sombong dengan Allah, kita sombong dengan Allah!”

di tempat kerja, walau bertumpuk fail di meja, masih senyum tak menolak

bila ditambah lagi kerja. kata bos: “buat ini dulu-urgent, yang lain pun urgent”

tapi untuk Allah, bos yang Maha Besar , kenapa tidak ditambah sunat dan tahajjud?

kita ingkar, kita sombong dengan Allah, kita sombong dengan Allah, sedangkan Dia

bos yang Maha Besar, melebihi segala kebesaran duniawi”

 

menitik keinsafan dari mata yang sama, yang sebelumnya mati suri

di foyer Masjid Attaqwa yang dipenuhi aura kenyang dan mengantuk

 

“Ya Allah, betapa malunya aku, betapa banyaknya yang Kau beri: betapa

sombongnya aku denganMu Zat Yang Maha Tinggi, tanpa ihsanMu hinalah aku

Ya Ilahi!, lisan khatib menampar ke mukaku dengan sesajak satira

Ya Robbi!, telah terbuka pintu-pintu lupa, hari ini, di rumahMu yang mulia.”

 

Ibnu Din Assingkiri

Jumaat, 20-01-2012

Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang

 

Hampir sembilan puluh peratus karya saya yang mutakhir ditulis dengan menggunakan cara ini dan telah terbukti dapat menambah kreativiti dan produktiviti dalam pengkaryaan.

 

Menukangi Cetusan Idea Menjadi Puisi

Bagi saya, langkah-langkah diambil ialah kembangkan dulu idea yang ada itu dengan menulis kembali secara prosa atau baris-baris panjang, kemudian pangkas dan mantapkan menjadi bentuk puisi, endap selama sekurang-kurangnya sehari atau selepas tidur malam, edit di keesokan harinya dan muat-naik (publish) setelah benar-benar berpuas-hati.

Adalah penting untuk mengedit semasa sedang segar atau ketika memulakan hari baru kerana jika diedit pada hari yang sama, kemungkinan besar akan terlepas pandang kesilapan kerana sebagai editor karya sendiri, saya sering gagal mengesan kesilapan diri sendiri. Jika diendap selama sehari, pada kebanyakan kes, saya dapati banyak kesilapan dapat dikesan oleh mata dan pemikiran yang segar.

 

Mengekalkan Momentum Pengkaryaan

Cara saya mengekalkan momentum produktiviti karya ialah tidak berada pada hanya satu gaya. Saya akan menulis puisi trend baru, eksperimen poligenre, tradisi, prosa, jenaka, akrostik, sarkastik, mbeling, haiku, soneta atau apa saja jenisnya dan juga dalam Bahasa Inggris dan Dwi-bahasa. Saya akan mengubah tema sajak sekali-sekali dari cinta kepada religi, satira, ode, filosofi dan sebagainya. Caranya ialah, jika saya kering idea menulis dalam sesuatu jenis tema, saya akan mencuba tema lain. Dengan tidak berhenti di situ, saya masih berada dalam momentum menulis. Jika saya berbuat begini saya tak bakal kehilangan momentum (lajakan) dalam pengkaryaan. Mengekalkan momentum akan membuatkan pengkaryaan menjadi produktif.

 

Saling Menginspirasi

Bagaimana menginspirasi dan terinspirasi dari karya sahabat lain jika tidak menikmat? Sesungguhnya karya-karya rakan seperjuangan banyak yang menginspirasikan saya untuk menghasilkan karya. Kadang-kadang kita perlukan inspirasi dari karya orang lain ketika kita sedang kemarau idea untuk berkarya. Cara untuk mendapat inspirasi yang indah dan percuma ialah masuk ke grup sastera siber dan membaca karya rakan seperjuangan kita yang berwarna-warni. Disamping itu juga interaksi dengan sahabat juga memungkinkan sebuah puisi terlahir. Berikut adalah puisi yang terhasil dari obrolan tentang ‘uban’ dengan Eksekutif Direktur Grup Sastera Siber Bengkel Puisi Swadaya Mandiri (BPSM), Dimas Arika Mihardja:

 

UBAN MEMERCIK SINAR

 

telah begitu lama kurasakan

kepala dihuni uban-uban

sejak zaman 90’an

 

kata sahabatku,

ianya laksana bunga jambu

begitu indah jika terpercik

di antara dedaun hijau

(bukan rerambut hitam...)

 

ada peringatan jelas

di sinar putih atas kepala

pilihan siaran Sinar FM

dan kelajuan 60km/sejam

(bukan faktor psikomotor)

 

apakah berada di puncak

teori - hierarchy of needs

menjadi ultimatum halatuju?

lalu neraca amal mengapung

(turut ke atas juga)

 

datanglah uban, percikkan sinar

ke seluruh anak rambut

jika sedikit amalku; butalah hatiku

 

Ibnu Din Assingkiri

25-11-2011

Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang.

 

 

Saling Mengapresiasi

“Penyair takkan mati dikritik, bahkan menambah kekuatannya.”- Ibnu Din Assingkiri.

Semakin banyak dikritik dan jika dia bertahan (tidak merajuk dan menyepi) akan menjadikannya lebih kuat kerana telah mendapat paling banyak maklumbalas untuk memperbaiki karya seterusnya. Ada kata-kata madah Inggeris “the biggest risk is not taking any risk at all” (risiko terbesar ialah langsung tidak mengambil risiko) – sumber tidak diketahui. Jika penyair tidak berani muat-naik (publish) karya, bagaimana pula dia bakal mendapat maklumbalas tentang kelemahan atau kekurangan karyanya? Begitulah intipati madah Inggeris tersebut jika dilihat dari konteks tulisan ini.

Menyedari tentang keperluan saling mengapresiasi demi memajukan diri dan juga sahabat seperjuangan maka saya akan sentiasa terbuka menerima kritikan dan juga saya akan sedaya mampu akan berlaku adil ketika membuat apresiasi dan kritikan kepada sahabat penyair yang lain.

 

Penutup

Tulisan ini tidak bermaksud menggurui kerana saya sendiri masih dalam proses pembelajaran. Semoga dapat dimanafaatkan untuk tujuan diskusi pembelajaran juga. Salam sastera untuk semua, sastera tanpa kasta dan batas geografi.

 

Referensi:

Muhammad Haji Salleh (1984, 2005), Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://catatanseni.blogspot.com/2011/12/meneroka-kreativiti-demi-produktiviti.html

Baca konten-konten menarik Kompasiana langsung dari smartphone kamu. Follow channel WhatsApp Kompasiana sekarang di sini: https://whatsapp.com/channel/0029VaYjYaL4Spk7WflFYJ2H

HALAMAN :
  1. 1
  2. 2
  3. 3
  4. 4
  5. 5
  6. 6
  7. 7
  8. 8
  9. 9
  10. 10
  11. 11
  12. 12
Mohon tunggu...

Lihat Konten Fiksiana Selengkapnya
Lihat Fiksiana Selengkapnya
Beri Komentar
Berkomentarlah secara bijaksana dan bertanggung jawab. Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE

Belum ada komentar. Jadilah yang pertama untuk memberikan komentar!
LAPORKAN KONTEN
Alasan
Laporkan Konten
Laporkan Akun