Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
*
Ketika bersiar di hujung minggu, saya melalui sebuah jalan yang sunyi. Kiri kanan saya hanya ada pohon renek yang menghijau. Kelihatan dari jauh, pohon durian yang melambai dedaun segarnya.
Sengaja saya memandu memasuki jalan yang kurang dilalui orang ramai kerana ingin merasai ketenangan dan mencari kedamaian dalam suasana hening dan bening sambil mendengar lagu-lagu kegemaran.
Iya… terkadang kesibukan kerja menjadikan kita selalu ingin bersendirian. Tiba saat yang terluang, saya pasti tidak akan melepaskannya.
Tika pemanduan semakin perlahan di satu selekoh tajam, tiba-tiba saya melihat dari jauh satu kelibat makhluk bernama ANJING, berbulu kuning cair keluar dengan payahnya dari semak samun menuju perlahan ke tengah jalanraya.
Saya pelik melihat keadaan anjing tersebut, dia cuba menyondol-nyondol ke bawah seperti mahu memakan sesuatu tetapi tidak berhasil. MENGAPA ?
Semakin kereta saya mendekati anjing tersebut, saya melihat 4 botol kosong berkapasiti 1.5 liter bergantung dilehernya. Subhanallah…. terseksa sekali keadaannya.
Dengan 4 botol yang bergantungan itu, pasti sukar untuknya bergerak pantas. Sukar untuk makan dan minum. Apa lagi aktiviti yang sesuai dilakukannya dalam keadaan tersebut. Fizikal anjing itu kelihatan kurus sekali.
Hati saya tersentuh dan ingin sekali membantu. Ahh… Maafkan saya wahai anjing… saya tidak mampu berbuat demikian kerana sedang keseorangan. Tiba-tiba anjing itu menghilang diri ke dalam semak sebaik sahaja kereta saya semakin hampir kepadanya.
Saya sangat kesal dengan kekejaman yang dilakukan oleh manusia terhadap anjing tersebut. Kalaulah.. anjing itu bersalah (iya… mungkin mencuri makanan, menggigit orang atau seumpamanya), janganlah sampai menyusahkan dia dengan menggantungkan botol-botol besar dilehernya sehingga susah untuknya bergerak.