Lihat ke Halaman Asli

Mengenang Kembali Kejatuhan Kerajaan Melayu di Sumatera Timur

Diperbarui: 26 Juni 2015   00:43

Kompasiana adalah platform blog. Konten ini menjadi tanggung jawab bloger dan tidak mewakili pandangan redaksi Kompas.

Humaniora. Sumber ilustrasi: PEXELS/San Fermin Pamplona

Definisi Melayu di Indonesia adalah berbeza dengan definisi Melayu di negara kita, Malaysia. Di Indonesia, kelompok Melayu dibahagikan kepada dua, iaitu Melayu pesisir (Coastal Malays) yang mendidiami sepanjang pantai barat Sumatera, serta Melayu Kalimantan (Borneo Malays), yang bertaburan di seluruh Pulau Borneo. Lain-lain rumpun Melayu tidak dianggap sebagai ’Melayu’, melainkan dikenali dengan nama etnik masing-masing. Ini termasuklah Acheh, Minang, Jawa, Mandailing, dan sebagainya. Salah satu wilayah yang diakui sebagai wilayah bagi etnik Melayu dan mempunyai hubungan yang rapat dengan tanah semenanjung ialah Sumatera Timur. Di wilayah ini, terdapat empat buah Kerajaan Melayu utama yang pernah wujud, iaitu Kesultanan Langkat Darul Aman, Kesultanan Deli Darul Maimon, Kesultanan Serdang Darul Arif, dan Kesultanan Asahan. Bukti hubungan rapat antara Sumatera Timur dengan tanah semenanjung adalah apabila dialek yang digunakan di sini adalah lebih mirip dialek yang digunakan di tanah semenanjung. Malahan, para Kerabat Diraja Melayu Sumatera Timur pada masa dahulu sering melangsungkan perkahwinan dengan Kerabat Diraja Melayu di negeri-negeri di semenanjung. Selepas perang dunia ke-2, Kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera Timur ini muncul sebagai wilayah yang kaya dan makmur hasil daripada perkembangan sektor perladangan. Perkara ini dapat dilihat daripada binaan istana-istana Sultan yang sebahagiannya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini. Kemakmuran wilayah ini turut menarik kehadiran pendatang-pendatang dari tanah Jawa untuk menginap di wilayah ini bagi bekerja di ladang-ladang. Walaubagaimanapun, amat malang apabila dikalangan Kerajaan-kerajaan Melayu ini tidak membentuk perikatan atau kerjasama sesama mereka, sebaliknya bersaing sesama sendiri. Pada masa tersebut, keadaan politik di Hindia Timur Belanda berada dalam kacau-bilau. Pengisytiharan kemerdekaan Indonesia secara sepihak oleh Soekarno dicabar keabsahannya oleh penjajah Belanda, memandangkan pengaruh dan kuasa Soekarno pada masa itu hanya meliputi Pulau Jawa sahaja. Kelekaan Kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera Timur dengan kemewahan hasil pembangunan ladang-ladang bagi tujuan tanaman menyebabkan mereka tidak menyedari jumlah ’pendatang’ yang bekerja di wilayah kekuasaan mereka telah melebihi jumlah penduduk tempatan sendiri. Kehidupan para pendatang dari Jawa di Sumatera Timur ini berada dalam keadaan yang menyedihkan dan tidak terurus. Raja-raja Melayu di Sumatera Timur enggan menganggap para pendatang Jawa ini sebagai ’Melayu’ kerana amalan agama Islam mereka yang berbeza dengan amalan penduduk Islam tempatan. Sementara para pendatang Jawa juga tidak mahu mengaku mereka adalah rakyat (subject) kepada Raja-raja Melayu di wilayah yang mereka duduki. Raja-raja Melayu menganggap pengisytiharan kemerdekaan Indonesia tidak akan menguntungkan kerajaan masing-masing, kerana ia didominasi oleh kaum Jawa yang berpusat di Pulau Jawa sendiri dan menyokong pemerintahan bercorak Republik. Kerana tersepit antara kebangkitan semangat nasionalisme Indonesia dengan kewajipan untuk mempertahankan Kerajaan dan takhta masing-masing, Raja-raja telah melakukan kesilapan (mungkin kerana terpaksa, tiada pilihan) dengan menghantar surat menyatakan kesetiaan kepada Ratu Belanda. Tindakan tersebut telah diambil kesempatan oleh para Nasionalis Indonesia yang didominasi etnik Jawa untuk mengecap para Raja-raja Melayu di Sumatera Timur ini sebagai boneka dan talibarut penjajah Belanda. Kemuncak kepada persengketaan ini adalah apabila para pendatang Jawa di Sumatera Timur bertindak dengan menyerang dan membakar kediaman di Raja, merogol, memenggal kepala dan membunuh para kerabat di raja Melayu hanya dalam tempoh satu malam iaitu pada 3 Mac 1946. Antara yang terkorban termasuklah Tengku Amir Hamzah, pujangga Melayu yang terkenal. Para nasionalis Indonesia cuba menyelindungkan perkara ini dengan mengatakan berlaku ’Revolusi Sosial’ rakyat bangun menentang pemerintahan monarki. Sedangkan realitinya, yang bangkit menyerang adalah hanya para pendatang dari Jawa yang terdiri daripada para penyamun, perompak, perogol dan penjenayah yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Apa yang menarik, selepas kejadian tersebut, kebanyakan rakyat tempatan seboleh mungkin menyembunyikan identiti ’Melayu’ mereka bagi mengelakkan diserang oleh para ’Nasionalis Indonesia’. Malahan, sebahagian kaum Batak Karo dan Simalungun yang telah memeluk Islam dan mengamalkan cara hidup Melayu, kembali memakai nama asal Batak mereka dan mengelakkan dilihat sebagai Melayu. Satu persekutuan yang meliputi wilayah Kerajaan-kerajaan Melayu kemudian ditubuh, dengan nama Negara Sumatera Timur, dengan harapan untuk menyertai Republik Indonesia Serikat sebagai salah sebuah negeri di dalamnya. Namun, Negara Sumatera Timur ini mengelak daripada melibatkan Raja-raja Melayu yang seolah-olah telah menjadi satu taboo yang memalukan pada masa tersebut.

Akhirnya? Jangka hayat Negara Sumatera Timur ini juga tidak lama dan kemudian dibubarkan. Republik Indonesia Serikat juga akhirnya dibubarkan dan digantikan sepenuhnya dengan Republik Indonesia yang bercorak negara kesatuan yang berpusat di pulau Jawa. Bagi melemahkan pengaruh Raja-raja Melayu dan kekusaan etnik Melayu (yang dibimbangi lebih cenderung untuk bergabung dengan Malaysia), wilayah Sumatera Timur ini kemudiannya digabungkan dengan wilayah Tapanuli yang didiami majoriti suku kaum Batak untuk menjadi Propinsi Sumatera Utara. Kini, etnik Melayu hanya menjadi kaum minoriti yang tidak berkuasa di negerinya sendiri di dalam Propinsi Sumatera Utara. Para waris Raja-raja Melayu pada hari ini cuba menghidupkan kembali warisan dan takhta Kerajaan mereka yang hilang, namun hanya atas dasar melestarikan kebudayaan tempatan semata-mata, iaitu bagi mengelakkan salah faham daripada Pemerintah Indonesia. Wallahualam.........

Baca konten-konten menarik Kompasiana langsung dari smartphone kamu. Follow channel WhatsApp Kompasiana sekarang di sini: https://whatsapp.com/channel/0029VaYjYaL4Spk7WflFYJ2H




BERI NILAI

Bagaimana reaksi Anda tentang artikel ini?

BERI KOMENTAR

Kirim

Konten Terkait


Video Pilihan

Terpopuler

Nilai Tertinggi

Feature Article

Terbaru

Headline