Dalam era Malaysia Madani yang kononnya lebih terbuka dan progresif, satu perkara masih ketara ialah sikap masyarakat kita lebih gemar menghakimi daripada cuba memahami perbezaan pendapat dan cara hidup orang lain. Bak kata pepatah Melayu, "seperti katak di bawah tempurung" iaitu kita masih terkurung dalam pemikiran jumud diwarisi sejak zaman-berzaman.
Lihat sahaja di media sosial sekarang, sebarang pendapat  berbeza dengan arus perdana akan dicemuh dan diserang bertubi-tubi. Lebih menyedihkan, serangan ini bukan sahaja tertumpu kepada isu-isu besar negara, malah merebak ke perkara-perkara peribadi yang sepatutnya menjadi hak individu untuk membuat pilihan.
Contohnya, bila ada anak muda memilih kerjaya tak conventional - katakanlah menjadi content creator, atau usahawan digital, mesti ada sahaja mempertikaikan "tak ada masa depan kerja macam tu" atau "baik masuk kerja kerajaan". Padahal dunia sudah berubah, peluang kerjaya juga pelbagai. Tapi, pemikiran masyarakat masih terikat dengan definisi kejayaan yang sempit.
Dalam soal agama dan kepercayaan juga serupa. Walaupun perlembagaan negara menjamin kebebasan beragama, realiti di peringkat akar umbi jauh berbeza. Ada  sanggup putus hubungan kekeluargaan semata-mata kerana perbezaan fahaman atau mazhab. Yang lebih conservative akan mengkritik  liberal, yang liberal pula memandang rendah kepada conservative. Mana perginya semangat wasatiyyah yang sering dilaung-laungkan?
Bukan setakat itu sahaja, cara berpakaian, pilihan makanan, hobi dan minat - semua tidak terlepas dari radar penghakiman masyarakat. Vegetarian dilabel "tak menghormati budaya",  suka bermain game dituduh "membuang masa",  berpakaian ikut trend dianggap "tak bermoral". Seolah-olah masyarakat ada manual kehidupan standardized yang mesti diikuti semua orang.
Sikap menghakimi ini sebenarnya mencerminkan satu kebimbangan mendalam iaitu takut pada perubahan. Apabila kita melihat orang berbeza dari kita, secara tidak langsung ia mencabar kepercayaan dan nilai  dipegang selama ini. Lebih-lebih lagi dalam dunia yang berubah dengan pantas, perbezaan menjadi ancaman kepada identiti dan cara hidup yang telah kita terbiasa.
Tetapi kita harus sedar, kepelbagaian sebenarnya kekuatan, bukan kelemahan. Lihat sahaja negara kita berbilang kaum, berbilang budaya, tapi masih boleh hidup aman damai. Kenapa kita tidak boleh mengaplikasikan semangat sama dalam menerima perbezaan pendapat dan cara hidup?
Dalam konteks pembangunan negara juga, kepelbagaian pemikiran ini penting. Sekiranya semua orang mempunyai pemikiran sama, bagaimana hendak ada inovasi? Bagaimana hendak ada kemajuan? Inovasi akan datang dari pemikiran yang berbeza. Sekiranya Steve Jobs mempunyai pemikiran seperti kebanyakan orang, takkan ada iPhone. Sekiranya Dr. Mahathir berfikir seperti orang lain, tidak akan wujud Proton.
Kerajaan Madani sememangnya telah mengambil usaha ke arah keterbukaan. Tetapi perubahan tidak boleh hanya bergantung pada dasar kerajaan sahaja. Kita sebagai individu harus mulakan perubahan dari diri sendiri. Cuba lihat dari perspektif orang lain, soal "kenapa" sebelum menghakimi. Belajar untuk agree to disagree.
Kadang-kadang kita terlupa, kita sendiri juga pernah menjadi mangsa penghakiman. Mungkin masa kecil-kecil dahulu diejek kerana tidak pandai matematik. Atau sewaktu remaja dikritik sebab minat pada benda "tak normal". Ingat bagaimana perasaan ketika itu? Jadi, mengapa kita perlu lakukan perkara sama pada orang lain?