Alkisah tersebutlah suatu kisah, ceritera si Bujang Kelana yang dah lama mengidam rasa suka kepada Ayu Juwita. Dari rasa suka itu, bertumbuhlah rasa cinta, yang tertahan tiada terungkap kata.
Di suatu masa, di hari petang yang teduh, lewat berjalanlah si Bujang di muka rumah Ayu idaman. Sedari jauh, ternampaklah ia akan dara pujaan sedang bermain di sebalik tingkap, berkawankan kucing kesayangan nan comel.
Bagai pucuk dicinta ulam tiba, memberanikan dirilah Bujang hendak menegur sapa dari luar pagar sempadan halaman.
Bujang Kelana:
Wahai Cik Adik...
Buah lakum bawa ke Pekan,
Buah delima bawa ke padang.
Assalamu'alaikum diucapkan,
Bolehkah hamba naik bertandang.
Ayu Juwita membalas:
Daun salam kembang cendawan,
Dimasak santan untuk hidangan.
Wa'alaikum salam hamba haturkan,
Pada Cik Abang tuan budiman.
Bujang Kelana, "Wahai Cik Adik, tidakkah boleh hamba masuk bertamu?"
Ayu Juwita, "Duhai Cik Abang, bukannya hamba tiada bersopan santun, tak sedia menyilakan Cik Abang masuk bertamu. Tetapi Ayahanda tiada di rumah, Ibunda pun sedang asyik memasak. Rasanya tiada elok jika hamba izinkan orang lelaki masuk ke rumah. Jikalau Cik Abang ada apa-apa hajat, ungkapkanlah sahaja, insyaAllah kan hamba sampaikan pada Ayahanda."
Bujang Kelana berkata:
Wahai Cik Adik, dengarlah...
Sungguhlah cantik kembang setaman,
Marilah dipagar batang cendana.
Hasrat nak memetik kembang di taman,
Andaikan belum disunting kumbang kelana.
Ayu Juwita menjawab:
Cik Abang dengarlah...
Kembang setaman jangan ditangkup,
Jikalau nak dipetik janganlah ragu.
Kembang di taman masihpun kuncup,
Manalah tertarik kumbang nan lalu.
Bujang Kelana, "Betuahlah badan kalau begitu..."
Melati tumbuh di taman kota,
Masaklah sebatang sibuah pinang.
Duhai Cik Adik, hamba dah lama mengidam cinta,
Bolehkah bepadah hendak meminang?
Ayu Juwita menjawab:
Wahai Cik Abang yang budiman...
Melati indah di taman kota,
Tumbuh mekar di dekat pinang.
Jikalau Cik Abang memanglah cinta,
Lekaslah segera masuk meminang.
Bujang Kelana melonjak gembira...
Bawalah buluh menjuluk pinang,
Buah pinang dibelah dimakan dua.
Hamba sungguh hendak meminang,
Supaya senang rasa hati dan jiwa.
Ayu Juwita membalas:
Bawalah buluh menjuluk pinang,
Pinangpun jatuh dikerat-kerat.
Kalau Cik Abang hendak meminang,
Berjanjilah penuhi hamba punya syarat.